Sunday, 10 July 2011

Mendidik anak

Anak adalah anugerah, ujian dan amanah kepada kedua-dua ibu bapanya. Tiada yang lebih berharga dalam kehidupan pasangan suami isteri selain dikurniakan dengan anak-anak yang sihat, cerdik, cergas dan cerdas. Selain itu, pastinya setiap pasangan menginginkan anak-anak yang bersahsiah baik dan berakhlak mulia, tetapi adakah peribadi dan akhlak mulia anak-anak ini terjadi dengan sendirinya atau memerlukan kepada asuhan serta didikan yang terpuji daripada ibu bapa mereka?
Sebagaimana yang kita maklumi bahawa proses pendidikan kepada anak-anak ini sewajarnya bermula semenjak dari dalam kandungan ibu lagi. Malah lebih daripada itu, Islam turut menganjurkan supaya pasangan suami isteri yang akan melakukan persetubuhan agar membaca doa terlebih dahulu. 
Ini penting agar pasangan suami isteri dan zuriat mereka terhindar daripada godaan serta pengaruh syaitan. Demikianlah kita dapat melihat betapa prihatinnya Islam dalam mendidik pasangan suami isteri untuk melahirkan zuriat dan generasi yang soleh dan solehah.
Menurut Imam al-Ghazali, anak-anak adalah seperti sebutir batu permata yang belum digilap. Ibu bapalah yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilauan. Jelasnya, ibu bapalah yang akan menentukan sama ada anak-anaknya `menjadi’ atau tidak. Dalam proses mendidik anak-anak, Islam menekankan konsep kasih sayang, penghormatan dan ketegasan. Ini penting agar keperluan fitrah, potensi diri dan nilai-nilai mulia dapat dibangunkan dalam jiwa anak-anak.



Sekumpulan pakar pendidikan kanak-kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa dalam budaya Timur, khususnya masyarakat Melayu, amat jarang pengiktirafan sama ada berbentuk pujian, kata-kata perangsang, perhatian, penghargaan atau ganjaran dalam bentuk hadiah diberikan kepada anak-anak apabila mereka melakukan perkara yang baik. Para ibu bapa juga biasanya kurang atau tidak memberi pujian kepada anak-anak terutamanya anak-anak yang sudah bersekolah (golongan remaja). Malah sesetengah ibu bapa berasa malu dan kekok untuk memaklumkan penghargaan atau pujian kepada anak-anak mereka.
Namun, apabila anak-anak melakukan sesuatu kesalahan atau kesilapan, dengan mudah ibu bapa memarahi, meninggikan suara, menghukum, memukul, merotan atau mendenda anak-anak tersebut tanpa menjelaskan apa kesalahan mereka serta menasihati anak-anak mereka dengan penuh hikmah serta belaian kasih sayang agar mereka tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut. 
Bagaimanakah ibu bapa ingin melahirkan anak-anak yang cemerlang sedangkan mereka sendiripun tidak secemerlang mana tentang ilmu-ilmu keibubapaan? Jangan salahkan anak-anak sekiranya mereka bersikap pasif, memberontak serta merasakan diri mereka tidak diberikan perhatian. 
Para ibu bapa sewajarnya mengoreksi diri kerana mereka telah mengabaikan aspek-aspek positif, kasih sayang, penghargaan, pengiktirafan dan perhatian yang sepatutnya difokuskan kepada anak-anak mereka. Beberapa rumusan kajian sosiologi pendidikan mendapati bahawa denda dan hukuman adalah cara yang paling biasa digunakan oleh ibu bapa untuk mendisiplinkan anak-anak mereka. 
Namun pendekatan ini adalah kurang sesuai dan tidak digalakkan walaupun ia nampak berkesan untuk memberhentikan atau mengurangkan sesuatu tabiat buruk anak-anak. Memarahi, mendenda atau memukul membawa lebih banyak keburukan dan hanya patut digunakan sebagai jalan terakhir bagi menangani sesuatu perbuatan buruk yang dilakukan oleh anak-anak, setelah kesemua langkah pemantapan positif tidak berjaya. 
Secara idealnya, seseorang kanak-kanak haruslah dibesarkan dengan pengaruh positif, iaitu dengan melebihkan ganjaran (kata-kata pujian, perangsang, penghargaan atau hadiah) daripada hukuman (memarahi, mengherdik, mendenda atau memukul). Perlu dijelaskan bahawa mendenda, memukul atau merotan anak ada kalanya perlu kita laksanakan, terutamanya apabila anak-anak melakukan perkara yang melampaui had atau melanggar perintah syariat seperti meninggalkan solat. 
Hal ini bertepatan dengan perintah Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang terkandung dalam sabda baginda yang bermaksud: “Suruhlah anak-anak kamu solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka sekiranya mereka meninggalkannya (solat) ketika berumur sepuluh tahun.” (Hadis riwayat Abu Daud) 
Sebenarnya perwatakan atau personaliti anak-anak banyak bergantung kepada jenis pendedahan yang mereka terima sama ada berunsur positif atau negatif. Setiap pendedahan ini akan tertanam di dalam minda mereka sebagai pembelajaran masa lampau. Inilah antara faktor utama yang membentuk keperibadian, pemikiran, tindak-tanduk serta nilai yang akan dibawa oleh anak-anak itu. Oleh sebab itulah, lazimnya kita mendapati jikalau sesebuah keluarga itu bermasalah, maka ia akan melahirkan anak-anak yang bermasalah pula. 
Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mereka dengan pendedahan kepada nilai-nilai positif agar mereka menjadi insan yang cemerlang. Realiti ibu bapa pada hari ini terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak mereka. Kebanyakan ibu bapa bersikap permisif iaitu membiarkan anak-anak melakukan apa sahaja dengan bebas tanpa had sempadannya. Ibu bapa sebenarnya bertanggungjawab menjelaskan kepada anak-anak bahawa kebebasan manusia telah ditentukan oleh Allah. Sikap permisif ibu bapa hanya akan mendorong anak-anak untuk melanggar had kebebasan yang ditentukan oleh Allah. 
Ibu bapa tidak sewajarnya terlalu memanjakan anak mereka sehingga tidak pernah bertegas atau menegur kesalahan anak. Akhirnya anak-anak ini akan membesar dan bebas berbuat sesuka hati kerana mereka tidak tahu menilai antara yang baik dan buruk. Filem Anakku Sazali arahan dan lakonan Tan Sri P. Ramlee sangat baik untuk kita renungkan betapa terlampau memanjakan anak itu bakal mengundang akibat buruk, fitnah dan kerosakan.
Sikap permisif para ibu bapa inilah sebenarnya yang turut menyumbang kepada gejala sosial seperti pergaulan bebas, keruntuhan akhlak, penyalahgunaan dadah, aktiviti jenayah dan budaya hedonisme di kalangan remaja. Konklusinya, ibu bapa perlu membina iklim positif dalam mendidik fitrah diri anak-anak. Budayakan amalan kasih sayang, penghargaan, pujian dan pengiktirafan untuk membina potensi dan peribadi mereka. 
Ingatlah bahawa keperibadian anak-anak adalah cermin yang menunjukkan bagaimana corak pendidikan yang mereka terima daripada kedua ibu bapa.

No comments:

Post a Comment