Monday 12 September 2011

Forum Pendidikan PIBG 2011 - luahan hati dan pendapat


PENDAHULUAN
            Majlis permuafakatan ini  telah dilaksanakan pada 10 September 2011, hari Sabtu, bertempat di Dewan Dahlia, SK Tanjung  Minyak, dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling, SK Tg Minyak.

OBJEKTIF
            Program ini dijalankan sebagai satu usaha merapatkan jurang di antara sekolah dengan ibubapa / penjaga. Pihak sekolah berharap agar takwim PIBG dapat dilaksanakan  dalam majlis perkongsian ilmu berbentuk forum pendidikan. Forum ini juga telah membuka  peluang kepada ibubapa dan peserta forum mendapatkan ilmu keibubapaan dari panel-panel yang dijemput khas.  Selain dari itu,  maklumat awal bahawa PIBG SK Tanjung Minyak adalah calon Negeri Melaka sebagai PIBG Pengurusan Cemerlang kategori sekolah rendah merupakan satu berita gembira yang patut dikongsi bersama.

RASIONAL
            Pelaksanaan program seperti ini didapati telah berjaya mengurangkan perselisihan pendapat dalam usaha membangunkan sekolah mencapai visi dan misi. Ia juga dapat membuka minda komuniti setempat tentang kesedaran transformasi pendidikan dari kebiasaan yang menjadi kelaziman.
PELAKSANAAN
           Majlis ini telah dilaksanakan pada  10 September  2011 seawal 8.45  pagi. Agenda program telah disusun dan  dilaksanakan mengikut ketetapan yang telah dibuat. Majis permuafakatan ini dilaksanakan dalam bentuk Forum Pendidikan.
PIBG dan pihak sekolah telah menjemput YB Datuk Ir Haji Idris b. Hj Haron, Ahli Parlimen Tangga Batu,  untuk  merasmikan majlis  pada hari tersebut.  Selain dari itu, pihak PIBG telah menjemput Yang Berbahagia, Prof. Madya Datuk Dr. Abu Bakar b. Mohamad Diah, Ketua Pegawai Eksekutif, Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersilan, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Al-Fadhil, Ustaz Hj. Dzulkarnain bin Hj. Hamzah, pengacara rancangan Imam  Muda, Astro Oasis sebagai panel pada hari tersebut. Forum ini telah dipengerusikan oleh Al – Fadhil, Ustaz Nor Azmi b. Ishak, seorang moderator yang tidak asing lagi dalam bidang pengacaraan majlis-majlis ilmu. Beliau merupakan pegawai syarak yang dijemput khas dari Masjid Al Azim Negeri Melaka. Ketokohan beliau dalam bidang pengacaraan serta penglibatan beliau dalam bidang keagamaan dan politik juga diakui oleh YB Datuk Ir Hj Idris b. Hj Haron sendiri.

INTIPATI PERASMIAN
           YB Datuk telah hadir pada masjlis tersebut dan menyampaikan ucapan ringkas selain turut merakamkan tahniah dengan pencalonan PIBG SK Tg Minyak sebagai PIBG Pengurusan Cemerlang mewakili negeri Melaka bagi kategori sekolah rendah.
YB Datuk telah berkongsi maklumat dan melahirkan rasa bangga dengan pemilihan ahli-ahli panel dan moderator yang dijemput malah turut menegaskan tentang betapa ruginya kepada sesiapa yang tidak menghadiri forum tersebut. Sebagai sokongan dan tambahan dana kepada PIBG dalam mengemaskinikan pengurusan PIBG, YB Datuk telah sudi menyumbangkan RM3000.00 kepada PIBG SK Tg. Minyak. Seterusnya, YB Datuk dengan lafaz Bismillah merasmikan majlis Forum Pendidikan PIBG 2011.

BAJET DAN KEWANGAN

            PIBG membelanjakan RM 1114.70 sebagai perbelanjaan bagi persediaan majlis dan menu utama jamuan aidilfitri. Bayaran saguhati kepada ahli-ahli panel dan moderator program berjumlah RM1700.00 dan ini menjadikan jumlah perbelanjaan keseluruhan program forum tersebut ialah RM 2814.70. PIBG telah menerima sumbangan juadah-juadah dari guru-guru SK Tg Minyak serta AJK PIBG dan ibubapa.

TINDAKAN SUSULAN

            Beberapa tindakan akan dibuat oleh pihak  PIBG SK Tg Minyak sebagai langkah-langkah penambahbaikan program seumpama ini pada masa  yang akan datang. Pihak PIBG berharap agar kerjasama dari pelbagai pihak dapat diteruskan sebagai satu usaha sokongan terhadap program-program sekolah.


 Pendapat saya :

           Pelaksanaan Forum ini telah berlangsung dengan sangat baik dan sempurna. Usaha-usaha PIBG untuk merealisasikan program ini benar-benar menunjukkan ketelusan PIBG untuk membawa sesuatu yang baru dalam usaha mendekatkan pihak guru-guru, ibubapa dan komuniti sekitar. Peralatan siaraya yang memang bermasalah namun, PIBG melalui pelbagai cabaran dan dugaan berusaha mendapatkan khidmat dari Jabatan Penerangan Negeri Melaka untuk peralatan siaraya. Hasilnya, satu sistem bunyi yang sangat cantik dan menghasilkan perkongsian ilmu yang jelas, terang dan nyata didengari oleh peserta. Namun kisah disebalik peralatan siaraya ini hanya setiausaha, moderator dan rakan-rakan guru tahun satu sahaja yang tahu.
           Kalau menyentuh soal bajet dan perbelanjaan PIBG untuk program ini, mencecah ribuan ringgit. Tidak pula bermaksud untuk mengungkit tapi apa yang dibelanjakan oleh PIBG seolah-olahnya hanya sesuatu yang dianggap dan dipandang remeh oleh mana-mana pihak. Kedudukan kewangan PIBG hanyalah Bendahari dan rakan-rakan AJK tertinggi PIBG sahaja yang mengetahui. Saya bersimpati pada Bendahari PIBG, En Sanadi b. Ali dalam menguruskan kewangan PIBG. Bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan komitmen tinggi. Sepatutnya, ahli PIBG perlu bersyukur, selama 7 tahun PIBG SKTM, dengan pengurusan kewangan yang sangat baik di bawah seliaan Bendahari, akaun PIBG belum lagi bermasalah dalam imbangan akaun dan tidak pernah berada dalam keberhutangan pada mana-mana pihak. Tapi, adakah mana-mana pihak dan sesiapa dikalangan ahli PIBG tahu, dan ambil tahu?
           Dimana sebenarnya sokongan kita semua sebagai ahli PIBG SK Tg Minyak? Rata-rata ahli PIBG pandai dan lantang dalam menyuarakan komen-komen terhadap semua aspek kepincangan PIBG. Kekurangan dan ketidaksesuaian sesuatu pelaksanaan agenda yang dirancang PIBG sangat jelas kelihatan dimata kita semua. Hujah-hujah ibarat peluru berpandu ke arah PIBG. Namun, terfikirkah kita bahawa kita hanya pandai menyatakan ketidakpuasan hati tapi kita tidak tahu pula untuk mencadangkan alternatif? Ramai di antara kita yang suka lempar batu kemudian sembunyi tangan. Manusia yang berselindung disebalik nama pinjaman, gambar pinjaman adalah manusia yang tiada keyakinan diri dan pincang sebenarnya. Pincang kerana anda hanya tahu gebang kedai kopi tapi tiada kredibiliti sebagai rakyat yang bertanggungjawab, apalagi untuk memimpin.
         Kalau kita hendak bercerita tentang sokongan, memang sangat jauh dari definisi sokongan. sebagai sebuah komuniti, sepatutnya kita bekerja dan melakukan tugas sebagai sebuah komuniti bukan dua atau tiga buah komuniti. Bukankah tangan yang memberi itu lebih baik dan mulia dari tangan yang menerima? Saya sangat terkilan, sedih dan kecewa kerana, hampir setiap kali program PIBG dilaksanakan, akan ada insan-insan yang akan balik hampir 2 atau 3 jam lewat dari orang lain. Bendahari, GPK 1, YDP dan NYDP memang sangat sinonim sebagai 'tukang clear' tempat majlis berlangsung. Apa salahnya, kalau kita semua sama-sama meluangkan sedikit masa kita masing-masing untuk melaksanakan kerja-kerja mengemas, tentunya yang 3 jam tadi akan jadi 30 minit sahaja. Saya sangat salut pada GPK 1 dan Bendahari, tidak pernah ketinggalan untuk menjalankan kerja-kerja mengemas. GPK 1 malahan mencuci lantai pada satu program perkhemahan. Dimanalah rasa hati kita sebagai pegawai-pegawai bawahan beliau.
          Sewajarnya, semua pihak menunjukkan sokongan anda pada PIBG kerana PIBG SKTM ditubuhkan untuk kita semua, warga SKTM, menjaga kepentingan dan menyumbang kepada pendidikan sahsiah, rohani, jasmani dan emosi anak-anak kita. Program semalam kurang mendapat sambutan. Ibubapa dan guru-guru yang menunggu sehingga berakhirnya majlis rata-rata adalah orang yang sama setiap kali program dilaksanakan. Saya rasa segan pada YDP SK Lendu, guru-guru SK Krubong dan SK Bukit Rambai yang menunggu sehingga majlis berakhir. Ahli-ahli PIBG SKTM dari pendaftaran yang berjumlah hampir 100 orang berkurangan menjadi tidak sampai pun 50 orang sebaik sahaja
YB Datuk Ir Hj Idris  meninggalkan majlis.
        Suatu ketika dahulu, saya berkhidmat disebuah sekolah di luar negeri Melaka. Murid tahun 1 hingga tahun 6 berjumlah 174 orang sahaja. Kekuatan guru-guru termasuk pentadbir hanya 13 orang sahaja. YDP PIBG hanya orang biasa sahaja, seorang buruh binaan yang bekerja tidak tentu pendapatan dan masa. ibubapa terdiri dari orang-orang kampung namun, hampir 3/4 dari ibubapa disitu adalah penjawam awam seperti guru, jururawat dan pegawai felcra. Ada juga yang ibubapa yang menjalankan perniagaan dan berada. Setiap kali program PIBG dilaksanakan, sangat susah bagi pihak sekolah mengesan ibubapa yang TIDAK HADIR dan sangat sukar mencari kepincangan dan kelemahan pihak guru-guru dan ibubapa. Kekuatan permuafakatan mereka telah menyenangkan pihak sekolah. Disana, program-program sekolah dan PIBG lazimnya dihadiri YB Datuk Wan Zahid, pemimpin-pemimpin masyarakat dan orang-orang kenamaan. Namun mereka sentiasa dapat melaksanakn program mereka dengan sangat baik walaupun kekuatan sekolah hanya 13 orang.
        Apa yang saya nampak disini, sesuatu yang berlaku sebenarnya bertitik tolak dari tanggungjawab dan perasaan 'dipunyai' oleh sesebuah organisasi. Setiap dari kita perlu ada rasa 'saya berhak ke atas PIBG' maka barulah akan timbul rasa sayang dan mahu berkhidmat untuk PIBG. Insan-insan yang sentiasa beralasan dan mencipta alasan tidak akan disukai oleh orang lain.
Sebagai ahli PIBG, kita perlu menyokong dan hadir untuk setiap aktiviti dan kerjasama yang diharapkan pun  bukannya banyak, hanya menyokong program dengan menghadirkan diri dan menyertai aktiviti sahaja. Pada saya, bukan saja alasan, tapi keengganan bekerjasama menunjukkan mentaliti dan komitmen terhadap usaha-usaha memurnikan pendidikan sudah semakin longgar.
         Luahan ini tidak mencari salah sesiapa, sekadar membawa renungan dan muhasabah diri kita masing-masing. Saya sendiri selaku setiausaha pun belum cukup sempurna dan membantu pun lagi. apa yang baik dan benar sama-sama kita jadikan peringatan pada masa-masa yang akan datang, namun kiranya ada kepincangan dan kesilapan kata-kata saya adalah kelemahan dan kekurangan diri saya sebagai insan biasa.

No comments:

Post a Comment